RM6 Juta Suntik ACD 2025 – Dasar Koperasi ASEAN Bakal Lebih Mantap
RM6 Juta Suntik ACD 2025 – Dasar Koperasi ASEAN Bakal Lebih Mantap
KUALA LUMPUR – Peruntukan RM6 juta daripada kerajaan menjadi suntikan penting bagi menjayakan ASEAN Co-operative Dialogue (ACD) 2025 yang dijangka menjadi pemacu kepada dasar koperasi ASEAN yang lebih kukuh dan menyeluruh.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1 juta diperuntukkan khas untuk pelaksanaan program koperasi ASEAN sepanjang tempoh Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun ini.
“Peruntukan ini membuktikan keyakinan kerajaan terhadap potensi koperasi sebagai pemacu pembangunan ekonomi rakyat serta agenda memartabatkan gerakan koperasi di peringkat serantau dan global,” katanya.
ACD 2025 yang akan berlangsung pada 13 dan 14 Mei ini di Sunway Resort Hotel, Selangor dijangka menghimpunkan pemimpin koperasi dari sembilan negara ASEAN. Program bertemakan ‘Cooperatives Build a Better World’ itu bakal menjadi medan perbincangan isu-isu pembangunan koperasi yang menekankan keterangkuman, kemampanan dan daya tahan ekonomi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud dalam ucapannya berkata, kekuatan 65 juta anggota koperasi di seluruh ASEAN termasuk lebih tujuh juta di Malaysia wajar digembleng sebagai satu kuasa ekonomi rakyat.
“Gerakan koperasi kini berkembang pesat merentas pelbagai sektor penting negara termasuk kewangan, pelancongan, logistik dan kesihatan,” katanya ketika Majlis Pra Peluncuran ACD 2025 di Wisma Ungku A. Aziz, hari ini.
Program anjuran KUSKOP bersama ANGKASA, ACO, SKM dan IKMa itu turut mempamerkan produk koperasi serta menyediakan akses kepada amalan terbaik dan strategi pembangunan ekonomi serantau.-SAHIH