RM4.3 BILION DIPERLUKAN FELDA
JIKA CADANGAN AMBIL ALIH TANAH DIPAJAK KEPADA FGV
KUALA LUMPUR: FELDA perlu membayar pampasan dianggarkan sehingga RM4.3 bilion jika mahu mengambil semula 350,000 hektar tanah ladangnya yang dipajakkan kepada FGV Holdings Bhd (FGV).
Pampasan itu berikutan langkah menamatkan lebih awal tempoh pajakan 99 tahun tanah terbabit yang bermula pada 2012.
Mengikut bank pelaburan, AmInvest dalam nota penyelidikannya, anggaran itu berdasarkan liabiliti Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang berada pada paras RM4.3 bilion setakat akhir Disember 2019.
Jika diteliti dalam LLA, pampasan yang perlu dibayar juga boleh ditentukan sebahagiannya oleh keuntungan setiap hektar matang dan saiz tanah. Jika FELDA mahu menamatkan LLA, ia perlu memberi notis 18 bulan kepada FGV.
“Selepas itu, jumlah pampasan akan dikira dan kemudian aset yang dipajak akan dikembalikan kepada FELDA,” kata bank pelaburan berkenaan, disiarkan BH Online.
AmInvest menjelaskan, jika urus niaga itu terlaksana, FGV berpeluang menggunakan tunai daripada pampasan berkenaan untuk meninjau peluang pelaburan lain.
Sementara itu, sumber rapat FGV pula menganggarkan pampasan yang perlu dibayar FELDA jika meneruskan hasrat mengambil balik tanah yang dipajakkan itu, mungkin sekitar RM3 bilion.
Katanya, ini setelah mengambil kira kos penanaman semula RM300 juta setiap tahun, kerja pembajaan sehingga RM300 juta setahun, pembinaan kediaman pekerja RM270 juta dan gaji pekerja ladang RM590 juta.