RM203.45 Juta Diperuntuk: Bomba Tonggak Penyelamatan Negara Disambut Gah di Kuantan
RM203.45 Juta Diperuntuk: Bomba Tonggak Penyelamatan Negara Disambut Gah di Kuantan
KUANTAN – Keberanian dan dedikasi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus diraikan apabila Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyanjungi pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.
Sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung pada 4 Mei di Padang MBK 1, Kuantan, Pahang,
Menteri KPKT, Nga Kor Ming menzahirkan penghargaan terhadap komitmen tinggi pasukan JBPM yang sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kecemasan dan bencana.
“Anggota bomba bertindak dengan keberanian luar biasa tanpa mengira risiko nyawa, seperti yang ditunjukkan dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights pada pagi Syawal lalu. Mereka adalah wira rakyat yang patut kita banggakan,” katanya.
Sambutan bertemakan Bomba Tonggak Penyelamatan Negara itu turut diserikan dengan perarakan gilang-gemilang 34 kontinjen dan 50 buah jentera, melibatkan seramai 1,500 keanggotaan daripada JBPM, Pasukan Bomba Sukarela, Bomba Pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia serta Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS).
Turut mencemar duli Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.
Turut hadir sama , Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Dalam majlis tersebut, Nga turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM203.45 juta bagi pelaksanaan projek pembangunan di negeri Pahang melibatkan JBPM.
Projek termasuk pembinaan semula dan ubah suai BBP Kuantan, naik taraf BBP Bentong, pembinaan BBP Sungai Lembing dan Benta, serta pembangunan BBP Gohtong Jaya bersama Genting Malaysia dan kerja awalan BBP Pulau Tioman.
Peruntukan besar itu, katanya, membuktikan iltizam kerajaan memperkukuh keupayaan pasukan penyelamat negara demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.-SAHIH