RM100,000 Setiap Kampung Felda Pacu Pembangunan Tempatan
RM100,000 Setiap Kampung Felda Pacu Pembangunan Tempatan
JERANTUT – Pengerusi Gabungan Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukkan RM100,000 kepada setiap kampung Felda bagi melaksanakan projek pembangunan ditentukan penduduk setempat.
Razak, yang lebih dikenali sebagai Pak Andak Razak, berkata inisiatif itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan tambahan kepada komuniti rancangan, malah membuka peluang kepada generasi baharu Felda untuk menceburi sektor pertanian, penternakan, perkilangan sederhana, teknologi maklumat dan pembekalan.
“Inilah peluang terbaik untuk anak-anak Felda terlibat secara langsung dalam ekonomi setempat. Mereka boleh rancang projek bersesuaian dan kerajaan sudah sediakan dana,” katanya.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), berkata setiap kampung Felda diberi kebebasan untuk menentukan sendiri bentuk projek yang ingin dilaksanakan menggunakan peruntukan RM100,000.
“Saya sediakan RM100,000 setiap kampung Felda. Nak beli traktor, kolam ikan, dron, saudara tentukan sendiri. Bukan pengurusan Felda yang tentukan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Razak turut memaklumkan bahawa Felda kini menguasai 92 peratus saham FGV dan mengurus tadbirnya demi manfaat warga peneroka.
Zahid pula menyatakan komitmen membuka sekolah tahfiz di setiap kawasan Felda, menyediakan kemudahan rangkaian 5G serta tapak rumah kepada generasi kedua hingga kelima Felda.-SAHIH