RM100,000 hasil sumbangan orang ramai bina pejabat Masjid Assobirin
RM100,000 hasil sumbangan orang ramai bina pejabat Masjid Assobirin
JERANTUT – Masjid Assobirin Felda Jengka 24 terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat setempat menerusi perasmian pejabat baharu masjid berkenaan, hari ini.
Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan sempena persiapan menghadapi sesi pembukaan sekolah.
Pengerusi Masjid Wilayah Jengka merangkap Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, pembinaan pejabat baharu masjid itu menelan kos kira-kira RM100,000 hasil sumbangan masyarakat setempat.
Menurutnya, kos pembinaan tersebut berjaya dikumpulkan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira enam bulan, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap pembangunan institusi masjid.
Seramai 30 anak yatim dan 50 asnaf menerima sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan membeli baju sekolah serta kelengkapan persekolahan.
Sumbangan berkenaan disalurkan hasil keprihatinan masyarakat setempat melalui pengurusan Masjid Assobirin yang sentiasa aktif melaksanakan program kebajikan.

Selain sumbangan kewangan, pihak masjid turut menerima sumbangan dua ekor lembu daripada orang ramai bagi kegunaan program kebajikan dan kemasyarakatan.
Majlis perasmian pejabat baharu Masjid Assobirin itu disempurnakan oleh Nik Ibrahim bin Nik Abdullah.
Turut hadir ialah Pengerusi Masjid Assobirin Felda Jengka 24, Haji Ishak Ghani; Pengurus Felda Jengka 24, Muhamad Saiful bin Mohd Pozi serta barisan kepimpinan masyarakat setempat.
Razak turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada jawatankuasa masjid, pihak pengurusan Felda termasuk Penolong Pengurus, Pengerusi GPW Rogayah Said, JKKR, MBFM, KAF serta ketua-ketua blok lelaki dan wanita termasuk pasukan tim ketua blok.
Beliau berkata, Masjid Assobirin akan terus berperanan sebagai pusat ibadah, kebajikan dan penyatuan masyarakat setempat.

Menurutnya, pihak masjid turut memberi penekanan kepada usaha mendekatkan golongan muda dengan masjid agar institusi berkenaan terus diimarahkan.
Usaha berterusan itu diharap dapat menjadikan Masjid Assobirin Felda Jengka 24 sebagai pusat komuniti yang aktif serta terus dimakmurkan oleh masyarakat setempat.-SAHIH
