RM100 untuk rakyat dewasa, cuti khas Hari Malaysia 15 September – PM Anwar
RM100 untuk rakyat dewasa, cuti khas Hari Malaysia 15 September – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelbagai inisiatif khas sebagai penghargaan kepada rakyat bersempena pencapaian ekonomi negara, termasuk pemberian tunai RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Bantuan secara one-off itu akan disalurkan melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Ini adalah bantuan tunai pertama dalam sejarah negara yang melibatkan semua rakyat dewasa,” katanya dalam pengumuman khas pada 23 Julai lalu.
Anwar turut memaklumkan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Ogos ini, manakala 15 September diisytiharkan sebagai cuti umum tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepatkan pengisian 4,352 jawatan termasuk doktor kontrak di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Dari sudut ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama mencatat pertumbuhan 4.4 peratus, dan dijangka meningkat kepada 4.5 peratus pada suku kedua.
“Malaysia juga melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025,” katanya.
Antara inisiatif lain termasuk pelancaran program Sejahtera MADANI bagi membantu golongan miskin tegar menerusi kerjasama kerajaan dan sektor korporat, selain peningkatan Harga Lantai Belian Padi kepada RM1,500.
Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA untuk 2025 turut dinaikkan kepada RM15 bilion – tertinggi dalam sejarah.
Anwar turut mengumumkan penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya utama, dengan kerajaan menanggung kos lebih RM500 juta.
Bagi 2024, Malaysia mencatat nilai pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM384 bilion – meningkat 17 peratus berbanding 2023 – dan dijangka terus melonjak pada tahun ini.-SAHIH
