RM10 JUTA UNTUK PROJEK JIWA MURNI
RM10 JUTA UNTUK PROJEK JIWA MURNI
BERA: Kementerian Pertahanan Malaysia memperuntukkan RM10 juta untuk membina dan membaik pilih kemudahan awam termasuk membina 50 unit rumah di seluruh negara melalui Projek Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia (TDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan dan membaik pulih itu akan dijangka bertambah berdasarkan keperluan semasa.
“Projek ini adalah sebahagian daripada projek Jiwa Murni yang dirancang sempena Sambutan Hari Tentera Darat (TDM) dengan bertema Sinergi Tentera Darat dan Rakyat : Tunjang Kedaulatan Negara.
“Setakat ini, keseluruhan projek, sebanyak 40 peratus telah siap, 40 peratus dalam pembinaan dan bakinya bakal dilaksanakan bersempena dengan Hari Tentera Darat yang Ke-88,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Lawatan Tapak Projek Jiwa Murni di Kuala Triang, Bera, hari ini.
“TDM telah membina dan membaik pulih kemudahan awam seperti dewan, bekalan air, surau dan pembersihan tanah perkuburan Islam.
“Projek membina rumah yang dibina menelan belanja sebanyak RM65,000 sebuah, berkeluasan 70 meter persegi (750 kaki persegi) dengan ruang tamu, 3 bilik, ruang dapur dan satu bilik air,” katanya.
Katanya, projek pembinaan rumah mengambil masa 50 hari dengan menggunakan kepakaran seorang pegawai, 18 anggota pasukan Skuadron ke-11 Rejimen Askar Jurutera DiRaja (Mekanise) dan dibantu 10 orang anggota Pasukan Rejimen ke-34 Artileri Diraja.
“Kerajaan negeri Pahang turut membantu sebanyak RM155,000 untuk membina rumah kepada golongan yang dikenal pasti dan amat memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, penerima rumah di bawah projek Jiwa Murni, Mohd Tahir Nong Chik berterima kasih kepada Menteri Kanan Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Bera yang prihatin kepadanya untuk menerima sebuah rumah baharu.
“Saya juga berterima kasih kepada kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pejabat daerah yang turut membantu.
“Saya bersyukur kerana rumah saya sudah dua kali dilanda banjir pada awal tahun ini dan 2014 dan memusnahkan sebahagian rumah dan barang-barang kelengkapan rumah,” katanya.