RM1.5 JUTA UNTUK 6,000 WANITA JALANI MAMOGRAM
RM1.5 JUTA UNTUK 6,000 WANITA JALANI MAMOGRAM
KUALA LIPIS: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan awalan kepada seramai 6,000 orang wanita golongan B40 bagi menjalani pemeriksaan mamogram menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Pahang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan berfokus itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri meningkatkan tahap kesihatan wanita serta sebagai pencegahan peringkat awal kawalan penyakit.
“Program seperti Cakna Suri antara sebahagian peruntukan bantuan yang diberikan kepada rakyat di negeri ini.
“Sebagai permulaan, kita buat pelancaran di kawasan Parlimen Cameron Highlands di Jelai dan ianya dibuat supaya pengesanan awal untuk mengelak daripada terdapat penyakit berkaitan payudara, ” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran Program Cakna Suri dan Jelajah Peduli Keluarga Negeri Pahang Darul Makmur, di Dewan Laman Sejahtera, Sungai Koyan, Lipis, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, Pengarah LPPKN Negeri Pahang, Norhafizah Mohd Nor dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim serta pemimpin tempatan.
Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri juga sedang mencadangkan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri Pahang dalam pembangunan di kampung-kampung apabila berjaya mengurangkan ketirisan di dalam pengoperasiannya.
“Tahun lalu, GLC di negeri ini menyumbang sebanyak RM36 juta kepada kerajaan negeri, saya bercadang supaya GLC ini memilih kampung-kampung di pedalaman atau pun kampung yang kurang maju untuk sama-sama membantu kampung tersebut,” katanya.
Inisiatif tersebut dapat membantu pembangunan secara fizikal mahu pun kerohanian bagi memacu kemajuan di kawasan luar bandar sehingga pihak pengurusan kampung dapat berdikari dan berdaya saing.