RM 6.37 JUTA BINA RRP
RM 6.37 JUTA BINA RRP: PENERIMA GEMBIRA DENGAN USAHA KERAJAAN NEGERI
JERANTUT: Sebanyak enam unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) daripada 98 unit di seluruh Pahang diserahkan kepada 6 penerima dalam kawasan Parlimen Jerantut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Damak dan Tahan, di Dewan Tengku Azlan, Pulau Tawar, hari ini.
Penerima RRP di Pulau Tawar, Shafie Ismail (55), berkata dia bagai bermimpi setelah dimaklumkan menerima bantuan rumah yang sangat selesa selepas rumah lamanya runtuh akibat dihempap pokok pada awal tahun ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Menteri Besar, pejabat parlimen, pejabat dewan undangan negeri, pejabat daerah dan pejabat penghulu.
“Sejak rumah runtuh dihempap pokok, saya tinggal merata tempat sementara menunggu rumah siap dan Alhamdulillah berkat bantuan daripada semua pihak, saya memiliki rumah baharu, ”katanya ketika ditemui ketika penyerahan kunci rumah RRP.
Seorang penerima RRP di Kampung Lada, Sharifah Mazni Syed Mohamud, 56, berkata, dia bersyukur dapat menyambut tahun baharu 2021 dengan sebuah rumah baharu bantuan kerajaan negeri.
“Memang tidak sangka mendapat sebuah rumah baharu, rumah lama saya telah uzur dan menjadi kenangan kerana telah tinggal di rumah lama sejak lahir bersama keluarga.
“Saya ada 6 anak dan dua daripadanya anak istimewa berusia 22 dan 27 tahun dan dengan rumah ini, saya dan keluarga dapat tinggal dengan selesa dan sungguh tidak menyangka saya dipilih sebagai salah seorang penerima rumah RRP,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris, ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud dan ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah berharap semua penerima menjaga rumah bantuan tersebut kerana peluang hanya datang sekali.
“Konsep RRP ini datang daripada pandangan Datuk Menteri Besar setelah melihat kewangan negeri yang kukuh dan membina RRP sebanyak 98 buah rumah di seluruh negeri pada tahun 2020.
“Saya berharap kewangan negeri terus kukuh dan stabil dan bantuan bilangan RRP akan ditambah bagi projek tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat negeri yang menjadi keprihatinan utama Datuk MB,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci RRP.
Beliau yang juga ADUN Pulau Tawar berkata, kerajaan telah memperuntukan RM 6.37 juta bagi menyiapkan 98 unit rumah RRP di seluruh Pahang dan setiap unit berharga RM65,000 untuk membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.
Katanya, Datuk Seri Wan Rosdy dan mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan bagi menyediakan rumah yang selamat dan selesa kepada golongan B40, kerajaan negeri membiayai projek perumahan tersebut dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak .