RISDA sasar keluar 600,000 tan metrik jagung makanan ternakan
Foto atas : Datuk Seri Mahdzir Khalid (4 dari kiri) di Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA di ibu negara, kelmarin.
RISDA sasar keluar 600,000 tan metrik jagung makanan ternakan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi RISDA menyasarkan pengeluaran 600,000 tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tanaman jagung bijian menjadi fokus RISDA pada tahun ini untuk membantu kerajaan mengurangkan pergantungan makanan ternakan import itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.”
“KPLB memperuntukkan sejumlah RM20 juta melalui inisiatif program agromakanan untuk menyokong dan memenuhi dasar agromakanan negara.
“Projek tanaman jagung bijian ini sudah dilaksanakan di Perlis sejak Februari lalu melibatkan 750,000 pokok dengan kawasan penanaman seluas 15 hektar dan dijangka menghasilkan sebanyak 82,200 kilogram jagung bijian yang akan dituai pada bulan Julai depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri RISDA di ibu negara, kelmarin.
Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.
“Program Agromakanan RISDA tahun ini membabitkan 1,000 peserta di seluruh negara dengan maksimum bantuan RM20,000 bagi setiap peserta.
“Peserta boleh memilih untuk melaksanakan tiga skop projek iaitu tanaman jangka pendek dan jangka panjang atau aktiviti ternakan,” katanya.
Projek boleh dimajukan secara berkumpulan melibatkan kerjasama Koperasi Pekebun Kecil dan syarikat di bawah Kumpulan RISDA Holdings.
“Peruntukan itu juga bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka sumber baharu bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan dari sumber getah.
“Untuk rekod, pada tahun 2020 dan 2021 sahaja, KPLB telah menyalurkan peruntukan lebih RM23 juta di mana 56 peratus peserta melaksanakan tanaman jangka pendek, 39 peratus aktiviti ternakan dan 5 peratus lagi terlibat dalam penanaman jangka panjang,” katanya.
Kerjasama RISDA bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi seperti Jabatan Pertanian, Veterinar, FAMA, MARDI akan memastikan pelaksanaan program agromakanan RISDA selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.-SAHIH.