RISDA beri bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Bera
RISDA beri bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Bera
BERA – Menyedari kepayahan pekebun kecil yang terjejas akibat banjir, pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melalui Yayasan Risda Risda Estates Sendirian Berhad menyampaikan sumbangan berjumlah RM 13, 000 kepada 50 ketua isi rumah (KIR) pekebun kecil di daerah ini.
Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, setiap keluarga menerima bantuan berupa dapur gas, bakul makanan dan tilam, bantuan itu bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir.
“Pasukan sukarelawan Risda telah menyumbang tenaga di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan membabitkan kerja-kerja pembersihan dan pembahagian sumbangan kepada penduduk terjejas.
“Selain itu, sukarelawan ini bagi menyelaras pengurusan pasca banjir serta persediaan menghadapi gelombang kedua banjir,” katanya.
Katanya, kedudukan Kampung Kuala Bera yang berada di tengah-tengah jajaran Sungai Triang dan Sungai Pahang menyebabkan lokasi terbabit sering dinaiki air apabila tiba musim tengkujuh kerana berada di lokasi rendah.
Penduduk yang terjejas di Kampung Kuala Bera, Rohani Jamaludin menceritakan detik cemas, bila setiap kali tiba musim hujan, dia persiapkan semua dokumen penting dan jika air naik semua dokumen itu akan dibawa bersama.
“Kami sentiasa berwaspada kerana keadaan tempat kami memang seirng dinaiki air, kereta kami alih dahulu ke tempat yang tinggi dan selamat kerana air banjir naik sangat deras dan cepat.
“Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting, sebelum diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),”katanya.
Seorang penduduk yang terkesan banjir, Rosimah Man berkata, kejadian banjir kali ini dianggap tidak begitu parah.
“Pada 2014 air sampai mencecah siling rumah, bagi rumah dua tingkat, 2 hingga 3 anak tangga lagi air hendak sampai ke lantai tingkat atas, bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir, ” katanya.
Seorang penerima bantuan RISDA, Ahmad Ashaari Mohamad berkata, dia berterima kasih kepada pihak Risda memberi bantuan seperti dapur, alas tidur dan lain-lain peralatan.
“Walaupun sempat berpindah ke PPS berhampiran, namun penduduk menyifatkan banjir kali ini amat terkesan kerana air naik secara mendadak.
“Bantuan Risda ini dapat meringankan perbelanjaan keluarga untuk menyiapkan peralatan rumah,” katanya.-SAHIH.