Ribut, hujan lebat rosakkan beberapa rumah di Lipis
Ribut, hujan lebat rosakkan beberapa rumah di Lipis
LIPIS – Beberapa rumah dan premis di sekitar daerah Lipis dilaporkan mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan itu malam tadi.
Antara lokasi terjejas ialah di Pekan Benta apabila sebuah rumah rosak pada bahagian bumbung dan dapur selepas dihempap sebatang pokok tumbang akibat angin kencang.
Di kawasan Penjom, dua lokasi kediaman turut terkesan. Di Taman Jelai, sebahagian besar bumbung sebuah rumah tercabut dan menyebabkan kerosakan teruk pada struktur kediaman itu. Sementara itu, di Kampung Rengai, sebuah lagi rumah dilaporkan rosak pada bahagian bumbung akibat ribut berkenaan.
Di Kampung Keledek, sebuah rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap, tiang serta struktur besi selepas dipukul angin kuat.
Bagaimanapun, semua penghuni yang terlibat dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Selain kerosakan besar yang dilaporkan, terdapat juga beberapa kediaman lain di sekitar Lipis yang mengalami kerosakan kecil.
Pihak polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi berkaitan telah turun padang bagi memantau keadaan, membantu mangsa terjejas dan memastikan keselamatan di kawasan terlibat berada dalam keadaan terkawal.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap maklumat serta amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa melalui saluran rasmi dan media sosial. Mereka juga diingatkan agar mengelakkan berada di kawasan berisiko ketika cuaca buruk serta segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.-SAHIH.
