Revolusi Pendidikan: ANGKASA, Waix Technologies Jalin Kerjasama Digital
Revolusi Pendidikan: ANGKASA, Waix Technologies Jalin Kerjasama Digital
KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengambil langkah berani dalam mendepani cabaran pendidikan digital dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Waix Technologies Sdn. Bhd.
Kerjasama ini bertujuan memperkenalkan platform pembelajaran digital dikenali sebagai Smart Scoring ke semua koperasi sekolah di seluruh negara.
Majlis bersejarah yang berlangsung pada 3 September 2025 di ibu pejabat ANGKASA itu turut menyaksikan Persatuan Koperasi ASEAN (ACO) mengukuhkan lagi hubungan serantau dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Waix Technologies.
Langkah strategik ini bakal menyaksikan platform Smart Scoring diperluaskan ke seluruh negara ASEAN, membawa manfaat teknologi pendidikan kepada lebih ramai pelajar.
Smart Scoring, sebuah aplikasi berasaskan teknologi digital, dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5.
Ia menyediakan pendekatan sistematik, interaktif, dan menyeluruh untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Dengan memanfaatkan teknologi moden, aplikasi ini menawarkan ciri-ciri inovatif seperti video interaktif dan sistem penilaian automatik yang memudahkan pembelajaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Kandungannya pula disusun mengikut silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menjamin ia selaras dengan keperluan semasa.
Pertukaran dokumen antara ANGKASA dan Waix Technologies diwakili oleh Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Kamarudin Ismail, dan Ketua Pegawai Eksekutif Waix Technologies, Thean Kai Shueng, serta Pengarah Urusan Waix Technologies, Akil Mohd Tahir.

Manakala bagi ACO, dokumen ditandatangani oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ACO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif Waix Technologies.
Majlis itu turut dihadiri 80 peserta dari 30 koperasi sekolah sekitar Lembah Klang yang diberi taklimat mendalam mengenai kelebihan Smart Scoring dan peluang pemasarannya.
Kerjasama ini dijangka bakal merevolusikan kaedah pembelajaran di sekolah dan melahirkan generasi pelajar yang celik digital, seterusnya melonjakkan mutu pendidikan negara.-SAHIH
