RESTORAN TERAPUNG KUALA TAHAN HENTI OPERASI
RESTORAN TERAPUNG KUALA TAHAN HENTI OPERASI
JERANTUT: Penduduk di pesisiran Sungai Tembeling dan Kuala Tahan terutama penggiat pelancongan Taman Negara mula bersiap sedia dan berwaspada apabila bacaan di Stesen Kuala Tahan menunjukkan paras air menghampiri pada ketinggian 64 meter, awal pagi tadi.
Kekerapan hujan yang berlaku sejak Jumaat lalu mengakibatkan paras air sungai dalam keadaan pola menaik dan beberapa kampung air sungai mula melimpah dan melepasi tebing sungai.
Restoran terapung berkenaan menjadi tarikan utama kepada pengunjung luar dan dalam negara kerana dapat menikmati makanan masakan tempatan dan barat, selain itu pengunjung turut mengalami makan di atas restoran yang terapung di sungai Tembeling.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, ketika ini paras air berada pada paras berjaga jaga iaitu, 63.66 meter menghampiri paras amaran 66 meter berbanding bacaan normal 60 meter.
“Pada masa ini, kawasan letak kenderaan di sekitar restoran terapung di Kuala Tahan telah dipenuhi air dan pengusaha restoran terapung telah menghentikan operasi restoran mereka.
“Semua pengusaha telah menarik restoran rakit mereka ke tebing dan jauh dari kawasan terjahan arus deras selain menambah bilangan ikatan tali pada rakit supaya lebih kuat dan tidak mudah dihanyutkan arus deras kelak,”katanya.
Seorang pengusaha restoran terapung, Mohd Shukri Hussin, 52, berkata, ketika ini semua pengusaha memberhentikan operasi dan menumpukan kepada keselamatan rakit masing-masing dengan mengikat rapat restoran mereka ke tebing.
“Lazimnya, pada penghujung tahun sehingga awal bulan Januari ,air Sungai Tembeling besar dan deras kerana hujan lebat dan disusuli musim angin monsun timur laut, semua pengusaha restoran terapung sudah bersiap sedia agar berada dalam keadaan selamat sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Mohd Shukri berkata walaupun air tidak begitu besar ketika ini, iaitu di paras berwaspada , tetapi mereka tetap mengambil langkah berjaga-jaga dibimbangi air akan naik mendadak terutama di tengah malam.
“Andai hujan turun lebat di kawasan hulu sungai dan berlaku di tengah malam, kami tidak sempat mengalih rakit kami ke tebing sungai dan akan musnah,”katanya..
Seorang penduduk, Sabri Abdullah, 50, berkata, sekiranya hujan lebat berterusan di kawasan hulu sungai Tembeling, paras air sungai dijangka terus meningkatkan dan boleh mengakibatkan banjir di sepanjang sungai itu.
“Penduduk kampung di Hulu Tembeling iaitu Kampung Mat Daling, Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat, Kampung Pagi dan Kampung Kuching kini berada dalam keadaan berjaga jaga untuk berpindah ke kawasan selamat sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk dengan memindahkan barang penting masing-masing ke tempat tinggi,” katanya.