Resorts World Genting mohon maaf insiden kereta kabel
Resorts World Genting mohon maaf insiden kereta kabel
PETALING JAYA – Pihak Resorts World Genting (RWG) hari ini tampil memohon maaf susulan kejadian beberapa penumpang kereta kabel Sky Way terperangkap lebih dua jam di laluan turun dari Stesen SkyAvenue, Genting Highlands malam tadi.
RWG menerusi kenyataannya menegaskan, pihaknya memberi jaminan bahawa keselesaan dan keselamatan pengunjung tetap menjadi keutamaan mereka.
Oleh kerana itu kata kenyataan sama, tindakan segera diambil dengan melaksanakan pelan luar jangka, termasuk menyediakan perkhidmatan ulang-alik di Terminal Genting Highlands Premium Outlets dan bayaran balik tiket.
“Bagi tetamu yang ingin mendapatkan bayaran balik menerusi (pulangan) tiket kereta kabel yang sah daripada kejadian ini, sila hubungi pasukan perkhidmatan pelanggan kami yang bersedia untuk membantu anda.
“Anda boleh hubungi kami di tpguestservices@rwgenting.com Kami sangat menghargai sokongan anda dan dengan tulus ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata kenyataan itu.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, beberapa penumpang kereta kabel Sky Way berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian berkenaan.
Menerusi perkongsian beberapa pengguna TikTok yang berada di lokasi kejadian, mereka memaklumkan punca kereta kabel terkandas adalah disebabkan masalah teknikal. – KOSMO! ONLINE