RENTAS NEGERI PJJ MOHON JUJUR
RENTAS NEGERI PJJ MOHON JUJUR
BENTONG: Pasangan jarak jauh (PJJ) diminta bersikap telus ketika kebenaran merentas negeri dan daerah dilonggarkan buat mereka.
Ini kerana, terdapat segelintir daripada mereka mengambil kesempatan membuat permohonan perjalanan untuk pulang ke kampung terutama pada hari raya baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar, tindakan itu dapat dikesan selepas terdapat pasangan menaiki kenderaan masing-masing untuk menuju ke satu destinasi yang sama.
Pemeriksaan terperinci dilakukan ketika individu berkenaan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR).
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar
Jelasnya, pihak polis mahu mengesahkan bahawa pasangan itu betul-betul yang berada di tempat yang dituju sebab terdapat juga yang kita dapati maklumat kita perolehi, kedua-duanya memohon untuk bergerak ke satu destinasi.
“Maknanya itu istilah mahu balik kampung bukan pergi untuk melawat pasangan, jadi kita mohon beri kerjasama dalam keadaan seperti ini, saya rasa semua orang kena faham dan perlu beri kerjasama..mana yang perlu bergerak..bergeraklah, mana yang tidak perlu pada saya tidak perlu lah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas lanjut peningkatan jumlah kenderaan di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur berikutan pemeriksaan teliti dilaksanakan pihaknya, kebanyakan pengguna mempunyai kebenaran perjalanan masing-masing.
Namun, dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar mana-mana individu tidak mengambil kesempatan di atas kebenaran yang diberikan berikutan ketika ini berlaku peningkatan mendadak Covid-19 yang membimbangkan di seluruh negara.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan operasi Pemantauan dan Pematuhan Pelaksanaan SOP PKP 3.0 di premis-premis sekitar Bentong.
Bermula 18 Mac 2020 hingga 18 Mei 2021, sebanyak 241 kompaun atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan terutama di lokasi SJR Tol Bentong-Kuantan.-SAHIH