REMAJA PEREMPUAN TANGGAL GELANG MERAH JAMBU
REMAJA PEREMPUAN TANGGAL GELANG MERAH JAMBU
TAYANG AKSI TANGGAL GELANG DALAM TIK TOK DIKOMPAUN RM5,000
TAIPING: Seorang remaja perempuan dengan bangga dirinya menanggalkan gelang merah jambu yang diarahkan kuarantin diri, menayangkan aksinya di dalam media Tik Tok berdurasi 33 saat dikenakan kompaun RM5,000 dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan kepada individu itu selepas video aplikasi Tik Tok remaja berusia 17 tahun itu tular di media sosial pada Isnin.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Kamunting dan polis berjaya mengesan remaja yang tular melalui Tik Tok itu dan didapati menanggalkan gelang merah tanpa kebenaran daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Remaja terbabit telah menjalani ujian ‘swab’ pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi, ketika kejadian dia dikatakan hanya singgah ke rumah rakannya di kawasan itu.
“Kompaun dikenakan kerana remaja berkenaan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,’ katanya.
Katanya, individu yang didapati sengaja melanggar peraturan yang ditetapkan akan diambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi wabak COVID-19.-SAHIH.