Remaja maut tergelincir ketika ambil gambar di air terjun Lata Jarum
Remaja maut tergelincir ketika ambil gambar di air terjun Lata Jarum
Raub, 6 April – Kegembiraan tiga sahabat yang berkelah di kawasan air terjun Lata Jarum, Ulu Dong di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas selepas tergelincir dan jatuh ke dalam air terjun ketika cuba merakam gambar petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu, Mohammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami, 18, berasal dari Dong Raub dikatakan tidak mandi, sebaliknya hanya berada di kawasan berbatu berhampiran air terjun bersama dua rakannya sebelum tergelincir dan jatuh ke air.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak polis yang memaklumkan insiden tersebut.
“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bersama satu jentera FRT dan sebuah kenderaan Hilux dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai.
“Operasi diketuai PBK I KUP Anuar Ahmad selaku Komander Operasi merangkap Pegawai Keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, dengan bantuan orang awam dan penggunaan peralatan khas, mayat mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 5.42 petang.
“Pasukan penyelamat menggunakan stretcher dan tali khas untuk membawa naik mangsa ke tebing. Mangsa dipercayai tergelincir sewaktu cuba mengambil gambar, bukan ketika mandi,” katanya lagi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan berisiko tinggi terutamanya ketika musim cuti dan cuaca tidak menentu.-SAHIH