Remaja maut motosikal terbabas langgar tiang lampu
Remaja maut motosikal terbabas langgar tiang lampu
Jerantut: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar tiang lampu dalam kejadian di Kilometer 29, Jalan Jerantut – Maran berhampiran Felda Sungai Tekam Getah, di sini, malam tadi.
Mangsa, Mohd Fitri Haziq Mohd Fadir disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan patah peha kiri.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Mohammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang proses ayam menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berseorangan dari arah Jerantut menghala ke Maran.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggang lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang lampu di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Jerantut selepas mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Hasil semakan mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Zukri berkata, polis menasihatkan orang ramai terutama penunggang motosikal supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat sebelum memulakan perjalanan.
“Pematuhan undang-undang adalah penting bagi mengelakkan kemalangan maut yang bukan saja meragut nyawa sendiri, malah boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.-SAHIH