Remaja Maut Motosikal Terbabas di LPT
Remaja Maut Motosikal Terbabas di LPT
MARAN – Perjalanan seorang remaja lelaki dari Terengganu menuju ke ibu negara berakhir tragedi apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 167.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, mangsa, Wan Muhammad Muzaffar bin Wan Mazlan, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terjatuh atas jalan.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kanan.
“Berdasarkan maklumat diterima daripada Bilik Gerakan LPT, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Banggol Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu menuju ke Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal motosikal ketika melalui jalan lurus dengan permukaan sedikit basah selepas hujan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa yang merupakan pembantu kedai makan itu memakai topi keledar dan mempunyai lesen memandu jenis L yang telah tamat tempoh pada 4 April lalu.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jengka dan bedah siasat dijadual dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-SAHIH