Remaja maut langgar lembu di laluan gelap Felda Jengka
Remaja maut langgar lembu di laluan gelap Felda Jengka
MARAN – Seorang remaja maut selepas melanggar seekor lembu yang dipercayai berkeliaran di tengah jalan dalam kejadian di Jalan Felda Jengka 12, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa, Izhar Hariz Izamuddin, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM VF3i dalam perjalanan dari arah Bandar Pusat Jengka menghala ke Felda Jengka 12.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, remaja itu dipercayai melanggar seekor lembu yang berada di tengah jalan sebelum terjatuh ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus dan rata dengan dua lorong dua hala, namun kawasan berkenaan gelap serta tidak mempunyai lampu jalan.
Katanya, mangsa memakai topi keledar, namun mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, remaja berkenaan berasal dari Taman Sagumpas 2, Temerloh. Motosikal yang ditunggangnya pula mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan akibat pelanggaran itu.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan pada jam 11.30 malam bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia.-SAHIH
