REMAJA MAUT DILANGGAR TAYAR LORI BALAK TERCABUT
REMAJA MAUT AKIBAT TAYAR LORI BALAK TERCABUT
MARAN: Seorang remaja maut apabila tayar belakang sebuah treler membawa muatan kayu balak, tiba-tiba tercabut sebelum bergolek dan terlanggar motosikal jenis YAMAHA LC135 dinaiki mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang di Kilometer 48 Jalan Temerloh-Bandar Jengka itu, mangsa, Mohamad Zazmi Mohd Zahari, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, mangsa yang bekerja sebagai mekanik dan berasal dari FELDA Mawar, Jengka 10 dipercayai gagal mengelak tayar lori balak berkenaan, mengakibatkan mangsa dan motosikal ditungganginya terjatuh ke tebing sebelah kanan laluan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, treler itu dalam perjalanan dari arah Lepar, Jerantut menghala ke ibu negara sebelum tayar bahagian belakang treler berkenaan tercabut ketika tiba di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kamarulzaman berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jengka untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.