Remaja lemas terjatuh di tebing laut
Remaja lemas terjatuh di tebing laut
MELAKA – Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika berjalan di atas batu pemecah ombak di Pantai Puteri, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa, M. Sharvin, 16, ditemui kira-kira tiga jam kemudian oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Pegawai Kanan Bomba II, Mohd. Khairul Nizam Mohd. Anwar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 11.40 pagi dan seramai 21 pegawai dan anggota ke lokasi.
“Setiba di lokasi kita dapati terdapat seorang remaja lelaki dilaporkan telah lemas oleh ahli keluarganya dan operasi penyelamatan dilakukan anggota PPDA.
“Mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga jam kemudian pada jarak 30 meter daripada batu pemecah ombak tempat mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini,lapor kosmo
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika air laut pasang sebelum mayatnya ditemui tersangkut di dasar laut yang berlumpur.