REMAJA LEMAS LEPAS SELAMAT ADIK
REMAJA LEMAS LEPAS SELAMATKAN ADIK
BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilaporkan hilang selepas menyelamatkan adiknya yang terjatuh dalam parit petang semalam, ditemui lemas di parit berkenaan di Jalan Taman Manis 6, Parit Raja pagi tadi.
Free Malaysia Today melaporkan, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam Mohamad Shamin Mohamed Salikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang semalam, membabitkan mangsa, Muhammad Naqiuddin Adnan.
“Mangsa ditemui pada jam 8.47 pagi hari ini pada jarak 5m di dasar parit dari lokasi awal mangsa dilaporkan terjatuh dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebelum ini mangsa didapati hilang selepas menyelamatkan adiknya yang terjatuh di parit dan membawanya ke tebing sebelum dihanyutkan arus. Semasa kejadian, mangsa bersama lima lagi rakannya dipercayai sedang mandi di parit tersebut.
Justeru, pihaknya menggunakan teknik “surface searching” dari lokasi mangsa lemas ke arus air yang bertentangan iaitu arah Gate Air dengan jarak lebih kurang 1km sejak mangsa dilaporkan hilang semalam.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.50 pagi tadi.