MAYAT REMAJA LEMAS DITEMUI
JOHOR BAHRU : Seorang remaja lelaki ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama sembilan rakan di Jeti Nelayan Tanjung Piai dekat Pontian hari ini.
Harian Metro melaporkan, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan untuk mencari dan menyelamat Muhd Zahrawi P. Ramlee, 13, pada 2.29 petang.
“Seramai 15 anggota bomba dengan beberapa aset dan tujuh anggota Unit Penyelamat Di Air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa secara di permukaan air dilakukan di kawasan pesisiran pantai dan jeti dengan dibantu 10 anggota polis, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam serta orang awam.
Katanya, mayat Muhd Zahrawi kemudian berjaya ditemukan orang awam di bawah jeti pada 4.31 petang di kedalaman 1.8 meter dan kira-kira lima meter dari tempat dia dilaporkan mandi-manda.
Iqbal berkata jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pontian untuk tindakan selanjutnya manakala operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 5 petang.
video/gambar: Media sosial