REMAJA LEMAS 4 HARI LALU DITEMUI
REMAJA LEMAS 4 HARI LALU DITEMUI
LIPIS: Mangsa terakhir yang dipercayai lemas dalam kejadian berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai, dekat Sungai Koyan di sini, pagi Isnin lalu, ditemui pagi tadi.
Mayat Nur Zakirah Ahmad Husin ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat berhampiran jambatan keretapi Bukit Betong, kira-kira 11 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Lipis untuk tujuan bedah siasat.
OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT MANGSA DIHENTIKAN TENGAHARI TADI
“Dengan penemuan mangsa terakhir kejadian bot karam Isnin lalu, pihak kami menamatkan sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat jam 12.45 tengahari tadi,” katanya dalam satu kenyataan media sebentar tadi.
Dalam kejadian jam 1.30 petang Isnin lalu, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian bot karam dinaiki empat sekeluarga berhampiran jambatan gantung Kampung Ulu Jelai.
MAYAY MANGSA DITEMUI KIRA-KIRA 11 KILOMETER DARI LOKASI DILAPORKAN HILANG
Bertindak atas maklumat itu, operasi mencari dan menyelamat membabitkan pegawai dan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu penduduk kampung dilancarkan.
MAYAT NUR ZAKIRAH AHMAD HUSSIN DIHANTAR KE HOSPITAL LIPIS UNTUK PROSES BEDAH SIASAT
Dua daripada mangsa, Ahmad Hussin Mad Aris, 52 tahun dan seorang anaknya, Nur Aina, 23 tahun, berjaya menyelamatkan diri, manakala isterinya, Rozi Omar, 52 tahun dan seorang lagi anak pasangan itu, Nur Zakirah, 19, gagal dikesan selepas dipercayai dibawa arus deras.
Mayat Rozi kemudiannya ditemui jam 9.45 pagi Selasa lalu.