Remaja lelaki maut motosikal bertembung lori
Remaja lelaki maut motosikal bertembung lori
TEMERLOH, – Seorang remaja lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 157 Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Kuala Lumpur dipercayai sedang bergerak lurus sebelum merempuh sebuah lori kargo yang sedang membelok ke simpang kanan dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh berasal dari Jalan Maran, Temerloh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari Tumpat, Kelantan sedang membelok ke simpang kanan.
“Motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri lori tersebut menyebabkan mangsa tercampak dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keadaan jalan ketika kejadian adalah lurus, rata dan kering dengan cuaca baik serta pencahayaan yang memuaskan memandangkan ia berlaku pada waktu siang.
Mayat mangsa telah dihantar ke hospital namun keluarga enggan menjalankan bedah siasat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.-SAHIH