REMAJA LELAKI DITEMUKAN LEMAS SELEPAS TERJATUH LAUT
REMAJA LELAKI DITEMUKAN LEMAS SELEPAS TERJATUH LAUT
Seremban: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika membantu bapa saudaranya memasang jaring di Pangkalan Kuala Lukut Kecil, Port Dickson dekat sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata remaja, berusia 16 tahun itu ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan PPDA Jempol kira-kira 12.35 tengah hari tadi.
Menurutnya, mangsa yang hanya berseluar pendek itu ditemukan timbul di permukaan air kira-kira 50 meter dari tempatnya dilaporkan terjatuh.
“Seramai 26 anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama empat bot penyelamat dan empat kayak sejurus menerima laporan awal daripada bapa saudaranya, M. Narianasamy yang menaiki bot bersama remaja itu kira-kira pukul 6.15 petang semalam.
“Maklumat awal mendapati mangsa bersama bapa saudaranya memasang jaring di perairan berkenaan semalam kira-kira 3 petang, bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang mangsa terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini, lapor HM online.
Beliau berkata operasi pencarian yang bermula semalam, ditamatkan pada 1.16 tengah hari tadi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Gambar: Bomba