REMAJA KOMA AKIBAT KEMALANGAN, KELUARGA MOHON BANTUAN
REMAJA KOMA AKIBAT KEMALANGAN, KELUARGA MOHON BANTUAN
JERANTUT : Kecelakaan pada 1 Jun 2020 membabitkan pelanggaran dua buah motosikal di laluan Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Tekam Utara merupakan detik hitam kehidupan seorang remaja dan disahkan koma akibat mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, patah tulang leher, pergelangan bahu, tangan dan jari.
Remaja itu, anak ketiga daripada lima beradik yang juga seorang pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut sepatutnya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun lalu, tetapi tidak dapat menghabiskan alam persekolahannya akibat kemalangan itu.
Ibunya, Rozita Hamzah (48) berkata, insiden itu merunsingkan keluarga apabila melihat Muhammad Yusshah Danish sehingga sekarang masih tidak sedar walaupun banyak kali menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hosas) dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
“Peringkat awal, doktor cuma merawat anggota bahu, leher, tangan dan jari yang patah sebelum dibenarkan pulang. Kemudian meneruskan rawatan susulan untuk saringan dan pemeriksaan bahagian dalam kepala anak saya.
“Kami sedih melihat anak saya masih terlantar di atas katil dan tidak bergerak, manakala makanannya cuma susu yang dimasukkan melalui saluran tiub di hidung hidung dan perut, manakala pembuangan najis di lampin pakai buang,”katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini hari ini..
Katanya, tekanan yang mereka hadapi bukan sahaja berdepan dengan penderitaan anak yang masih koma malahan beban kewangan untuk perbelanjaan keluarga, persekolahan malahan juga kebajikan Muhammad Yusshah Danish yang membabitkan kos rawatan, peralatan diri dan makanan.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kami sudah membelanjakan wang untuk rawatan anak ini sebanyak RM15,000 termasuk membeli susu khas, lampin pakaian buang dan menyewa ambulans swasta untuk membawa Muhammad Yusshah Danish ke hospital di Temerloh atau Kuantan menjalani pemeriksaan dan rawatan.
“Tekanan kami tempuhi iaitu hampir setiap bulan kami menyewa ambulans untuk membawa dia ke hospital dengan mengeluarkan belanja sendiri sebanyak RM500 bagi perjalanan ke Temerloh dan RM700 ke Kuantan bergantung kepada arahan hospital berkenaan serta perlu menyediakan RM3,000 sebulan untuk keperluan anak saya,” katanya.
Katanya, mereka kehilangan pendapatan mengusaha perkhidmatan dandanan dan solekan serta penyewaan alatan pelamin dan busana pengantin sejak penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, tekanan bertambah selepas anak mereka terbabit dengan kemalangan jalan raya serta menderita koma.
Dalam pada itu, Yussery Ismail (51) bapa kepada lima orang anak berusia antara empat hingga 23 tahun berkata, dia dan isterinya reda dengan ujian Allah serta beristiqamah sambil berharap Muhammad Yusshah Danish mampu sedar dari koma dan bergerak supaya mereka dapat mencari rezeki semula.
“Selepas kejadian itu, semua wang simpanan untuk modal pusingan perniagaan dan membeli peralatan pengantin habis digunakan untuk rawatan anak kami.
“Saya hanya bekerja sambilan di kawasan Felda ini untuk memperoleh pendapatan menyara keluarga, manakala isteri terpaksa melupakan pekerjaan perkhidmatan pengantin kerana penguatkuasaan PKP, selain hanya menumpukan penjagaan dan kebajikan Muhammad Yusshah Danish,” katanya.
Katanya, dia berharap kerajaan dan dermawan boleh membantu kami untuk perbelanjaan susu, ubat dan kebajikan tertentu bagi anak ini termasuk menyewa ambulans swasta setiap kali berulang alik ke hospital.
Orang ramai dan dermawan yang ingin membantu Muhammad Yusshah Danish Yussery boleh menghubungi Yussery Ismail di talian 014 5321433 atau Rozita Hamzah (018 9103179) dan menyumbang terus ke akaun Bank Rakyat bernombor 220304322791 (Muhammad Yusshah Danish).-SAHIH.