Remaja ditemukan meninggal dunia dalam parit
Remaja ditemukan meninggal dunia dalam parit
Tumpat: Remaja lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam parit di Kampung Bechah Temalang, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 7 pagi, mangsa Muhammad Irfan Mohd Rozuki, 19, ditemui penduduk, Mohd Rozali Yusof, 49, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya bekerja.
Mohd Rozali berkata, dia ternampak beg silang di tepi jalan dan ingin mengambilnya untuk diperiksa sebelum ternampak sebelah selipar.
“Saya kemudian menyedari terdapat tubuh manusia dalam keadaan tertiarap berpakaian gelap di dalam parit lalu memanggil penduduk yang turut menghubungi pihak polis.
“Motosikal Honda EX5 dipercayai milik remaja lelaki itu juga ditemukan dalam parit kira-kira 200 meter dari lokasi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Difahamkan, ada penduduk menemui motosikal mangsa dalam parit sebelum itu lalu membuat pencarian, namun gagal menemui penunggangnya.
Terdahulu, mangsa dikatakan keluar dari rumah dari rumahnya di Kampung Perupok, Pasir Mas pada 0 malam tadi sebelum gagal dihubungi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian, lapor HM online
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Disiarkan pada: September 3, 2021 @ 2:03pm
Oleh: Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my