REMAJA DITEMUI MATI DIBUNUH
DIPERCAYAI DITIKAM SUSPEK & PERGELANGAN LENGAN KIRI PUTUS DITETAK
KUALA BERANG: Seorang remaja wanita, Siti Nur Surya Ismail, 19, ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di Kampung Lubok Batu, Telemong, dekat sini, pagi tadi.
MANGSA kes bunuh, Siti Nur Surya Ismail
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata kejadian itu hanya disedari adik mangsa, Diana Syuhada, 15, selepas menemui mangsa dalam keadaan tertiarap di ruang tamu ketika pulang dari sekolah, kira-kira jam 2.30 petang.
“Kejadian (jenayah) ini dipercayai dilakukan oleh seorang suspek kira-kira jam 9 pagi tadi.
“Pemeriksaan awal mendapati antara barangan yang hilang membabitkan (sejumlah) wang tunai,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Sementara itu, abang mangsa, Mohd Zaid Azroi, 28, yang bekerja di Kampung Bukit Payong, berkata, dia hanya menyedari mengenai kejadian selepas dihubungi Diana.
LOKASI kejadian kes bunuh membabitkan mangsa berusia 19 tahun di Kampung Lubuk Batu, Telemong
“Adik saya dibunuh dengan kejam… terdapat beberapa kesan (tikaman) dipercayai (menggunakan) senjata tajam di beberapa bahagian badan, termasuk putus pergelangan lengan kiri.
“Ketika kejadian hanya ibu sahaja yang ada dan hanya mampu melihat kerana menghidapi sakit kanser otak,” katanya.