REMAJA DITAHAN BANTU SIASATAN
KLANG: Seorang remaja perempuan ditahan dipercayai membuang bayi perempuannya di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata suspek yang berusia 18 tahun itu ditahan pada jam 10 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
ASISTEN KOMISIONER SHAMSUL AMAR RAMLI
Katanya, suspek yang tinggal bersama ibu tirinya berhampiran lokasi kejadian mengakui membuang bayi itu.
“Siasatan awal mendapati suspek dari Pahang dan sering berkunjung ke rumah ibu tirinya di daerah ini,” katanya dalam kenyataan seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Beliau berkata, suspek kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan susulan.
Katanya, semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kini direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.
GAMBAR HIASAN
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Semalam, seorang bayi perempuan dipercayai baru sahaja dilahirkan ditemui di belakang sebuah rumah di Kampung Delek Kanan sekitar jam 12 tengah hari.
Bayi yang masih bertali pusat dan mempunyai uri itu ditemui seorang lelaki selepas dimaklumkan sekumpulan kanak-kanak yang bermain di hadapan rumahnya.