Remaja Disaran Sertai NGO Bina Jati Diri dan Kepimpinan
Foto : Mohd Nazri (berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama ahli generasi muda PSK pada Kejohanan Boling Amal Sukarelawan Kasih 2025.
Remaja Disaran Sertai NGO Bina Jati Diri dan Kepimpinan
KAJANG – Pembabitan golongan muda dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk membentuk jati diri dan semangat sukarelawan demi manfaat masyarakat.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK), Mohd Nazri Abdul Latif, berkata penglibatan remaja dalam NGO memberi peluang mereka mendalami nilai murni seperti tanggungjawab sosial, belas kasihan dan kerendahan diri di samping mengasah kemahiran insaniah seperti kepimpinan dan komunikasi.
Menurutnya, PSK yang ditubuhkan lebih 19 tahun lalu kini giat menarik penyertaan remaja sebagai pelapis agar pertubuhan terus aktif membela golongan memerlukan.
“Remaja sebenarnya sudah dididik dengan semangat berpersatuan di sekolah dan di institusi pengajian tinggi.
“Apabila mereka bekerja nanti, PSK berharap dapat menarik mereka menjadi sukarelawan aktif dalam komuniti,” katanya pada Kejohanan Boling Amal Sukarelawan Kasih 2025 di Bangi, baru-baru ini.
Seramai 30 anak ahli PSK menyertai kejohanan itu bersama Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, dan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, bagi memberi pendedahan mengenai peranan NGO serta tugas sukarelawan.
Mohd Nazri turut menyerahkan sumbangan hasil infak ahli dan orang ramai kepada dua pusat jagaan berkenaan.
Katanya, aktiviti sukan seperti boling mampu mengeratkan hubungan antara ahli NGO dan menjadi platform membina ukhuwah.
“Selepas ini PSK akan merancang lebih banyak program kebajikan, termasuk menyantuni warga emas dan anak yatim supaya ahli pelapis tidak berasa kekok menyertai kerja sukarela,” katanya.-SAHIH.
