Remaja dikhuatiri lemas ketika memancing
Remaja dikhuatiri lemas ketika memancing
KUANTAN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing bersama tiga rakannya berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, Lorong Indera Mahkota 15/7, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, mangsa, Muhammad Isyraf Danish Razmi, 15, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam sungai dan gagal diselamatkan rakan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.36 malam dan dimaklumkan seorang remaja lelaki dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing. Tiga rakannya yang lain dilaporkan selamat.
“Operasi pencarian segera digerakkan menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface searching) di kawasan mangsa dipercayai jatuh,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan enam anggota bomba bersama sebuah jentera jenis FRT serta dibantu 15 anggota polis termasuk dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari serta menyelamat (SAR) masih diteruskan.
“Taklimat bersama antara JBPM dan polis turut diadakan bagi menyelaras tindakan susulan di lokasi,” katanya.
Difahamkan, kawasan sungai berkenaan tidak berpagar dan sering menjadi tumpuan penduduk setempat untuk aktiviti memancing terutama pada waktu petang dan malam.-SAHIH
