REMAJA DAKWA DIROGOL BAPA SAUDARA
REMAJA DAKWA DIROGOL BAPA SAUDARA
KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan dipercayai menjadi mangsa rogol bapa saudaranya sendiri sejak Mac tahun lalu dan perbuatan itu akhirnya terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis Khamis lalu.
Susulan laporan polis dibuat remaja yang juga pelajar tingkatan dua itu, polis bertindak menahan suspek berusia 41 tahun itu di kawasan Sea Park, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, berdasarkan laporan, mangsa dipercayai dirogol pada setiap kali ibu dan adik-beradiknya tiada di rumah atau sedang tidur, lapor Malaysiapost.
ASISTEN KOMISIONER NIK EZANEE MOHD FAISAL
Menurutnya, mangsa turut mendakwa diugut supaya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu.
“Mangsa kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek yang juga abang kepada ibu mangsa kini direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram dijalankan.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun serta dikenakan sebatan,” katanya.