Remaja Asli nyaris maut diterkan harimau kumbang di Pos Perwor, Sungai Siput
Remaja Asli nyaris maut diterkan harimau kumbang di Pos Perwor, Sungai Siput
SUNGAI SIPUT – Seorang remaja Orang Asli berusia 19 tahun nyaris maut diserang seekor harimau kumbang di kawasan perkampungan Orang Asli Kelatap, Pos Perwor, Sungai Siput Utara, kira-kira jam 8.30 malam pada Rabu.
Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) telah menerima aduan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Balai Polis Lintang berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata, empat orang anggota Pejabat PERHILITAN Daerah telah menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi aduan dan bertemu Tok Batin kampong itu, Yusof Alang, pada 9.30 pagi, semalam..
“Maklumat yang diterima daripada Tok Batin memaklumkan pada hari kejadian mangsa sedang mencari kayu untuk membuat tandas rumah di kawasan kebun getah di belakang rumahnya dan telah terserempak dengan hidupan liar berkenaan dan seterusnya menyerang mangsa.
“Pergelutan telah berlaku dan harimau kumbang berkenaan telah menerkam di bahagian kepala dan badan mangsa, namun mangsa juga sempat menetak kepala dan peha sebelah kiri harimau kumbang berkenaan menggunakan parang dalam cubaan mempertahankan diri,” katanya.
Katanya, sejurus diterkam haiwan tersebut, mangsa telah menjerit meminta tolong dan setibanya orang kampung, harimau kumbang berkenaan telah melarikan diri, mangsa luka parah di bahagian kepala dan luka di badan dan kini dirawat di Hospital Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Manakala salah seorang anggota jabatan yang sedang mengikut kesan jejak dan kesan darah harimau berkenaan turut diserang oleh harimau berkenaan yang keluar dari kawasan kebun getah berhampiran, kira-kira jam 12.20 tengahari, semalam.
“Anggota itu mempertahankan diri dengan melepaskan 3 das tembakan menggunakan peluru OOB ke atas harimau kumbang berkenaan menyebabkan haiwain itu mati,”katanya.
Hasil siasatan ke atas bangkai hidupan liar berkenaan mendapati terdapat 7 kesan tetakan di bahagian kepala satu tetakan di bahagian peha sebelah kiri, dan seutas jerat dawai yang tersangkut pada pergelangan kaki belakang sebelah kanan.
Bangkai harimau kumbang berkenaan telah dibawa pulang ke Pejabat PERHILITAN Daerah Sungai Siput Utara.-SAHIH.