Remaja 19 tahun mencuri tabung masjid dihukum, salah siapa?
Remaja 19 tahun mencuri tabung masjid dihukum, salah siapa?
TEMERLOH – Remaja berusia 19 tahun yang cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah, Rawang, jam 11.50 malam pada 8 Januari lalu yang dikenakan hukuman penjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, mendapat pelbagai reaksi netizen.
Sebelum dijatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli turut menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung masjid kerana ia perbuatan yang salah.
“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi untuk masyarakat dan pembangunan masjid, awak curi letak dalam bilik jenazah pula. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak.
“Walau tindakan tertuduh salah, tindakan pihak mengambil video seperti yang tersebar menerusi laman sosial adalah tidak wajar kerana menyebabkan tekanan kepada tertuduh dan keluarga,” kata Nik Mohd Fadli.
Peguam Azman Abdullah, yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia telah insaf.
Salah satu hantaran dalam media Whatsapp menyatakan berita seperti ini tidak akan membantu Malaysia nampak telus dan berintegriti di mata dunia.
“Adik ini anak sulung, berusia 19 tahun, ibu bapanya berpisah ketika dia berusia 8 tahun, dia tinggal bersama datuknya yang berusia 70 tahun dan sedang sakit. Kehidupan mereka susah, makan minum pun disedekahkan oleh jiran-jiran.
“Dia masuk ke masjid, heret tabung derma ke bilik jenazah dengan niat untuk mencuri tetapi malang dia ditangkap, dimandi jenazah oleh orang masjid, ditahan oleh polis, di dakwa, dijatuhkan hukuman penjara 10 hari, denda RM4,000,” katanya.
Satu lagi hantaran menulis, adik itu gagal bayar denda, dia akan dipenjarakan 5 bulan, tak cukup dengan itu, videonya disebar di media sosial untuk memgaibkannya, kalau anak kita umur 19 tahun buat salah, kita nak bunuh ke?
“Kenapa bunuh masa depan anak ini? Kenapa tuding jari senarai kan dosa dia sahaja? Kenapa tidak tanya diri kita, apa tanggungjawab kita (masyarakat) untuk bantu, didik, sayangi anak ini?
Manakala hantaran seorang ibu, “hati saya menangis melihat anak ini, nasib nya tidak bernasib baik. Jika tidak pasti tiada sesiapa pun di Malaysia ini boleh menyantuninya.
“Mana Menteri Wanita yang sepatutnya menjadi ibu kepada rakyat? Tengok saja ke anak ini dizalimi? Mana Menteri Agama, dok wirid di kerusi empuk ke? Mana Menteri Pendidikan, tak turun lihat keciciran anak muda dari pendidikan ke? Mana semua pemimpin hebat Malaysia ni?,” tulisnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, penyebaran video itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.
“Tindakan sewajarnya sudah diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku agensi kerajaan bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat betul mengenai perkara itu.
“Saya difahamkan imam terbabit mengambil tindakan meletak jawatan dan JAIS sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.-SAHIH.