Rekod kemalangan motosikal masih tinggi
Rekod kemalangan motosikal masih tinggi
BERA – Kemalangan jalan raya di negara ini membimbangkan kerana menjadi antara penyebab utama kematian dengan sebanyak 14,308 kes direkodkan pada 2019 hingga 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih membimbangkan apabila dalam tempoh yang sama golongan belia mencatatkan kes kematian tertinggi dengan purata 7,077 kes yang mencecah 50 peratus daripada kadar kematian keseluruhan.
Beliau berkata, statistik ini menunjukkan golongan muda terdedah kepada risiko lebih tinggi semasa berada di jalan raya dan ini merupakan cabaran utama pihak penguatkuasa untuk membendungnya.
“Untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50 peratus menjelang 2030 salah satunya adalah disiplin education perlu diperbanyakkan selain engagement dengan penunggang motosikalnya perlu diperbanyakkan untuk memberikan kesedaran.
“Sebenarnya kita dah buat apa sahaja seperti laluan motosikal pun kita buat tapi kalau tiada disiplin itu yang menyebabkan kemalangan, ” katanya
dalam sidang akhbar selepas Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.
Pada majlis itu seramai 404 masyarakat Orang Asli di daerah Bera menerima lesen memandu melalui program BLKM.
Menurut Ismail Sabri pihak JPJ berhasrat mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan sebanyak 50 peratus menjelang 2030 dengan merangka pelbagai usaha dan program.
Antara usaha yang boleh dilakukan ialah melalui penekanan kepada disiplin dan memperbanyakkan lagi program kesedaran dan libat urus bersama penunggang motosikal.
Dalam pada itu beliau berkata, program BLKM amat signifikan dalam membantu dan memudahkan golongan sasar termasuklah masyarakat Orang Asli mendapatkan lesen memandu yang sah.
Katanya, melalui program ini calon terlibat hanya perlu membanyar sebanyak 20 ringgit dan akan diberi latihan dan ujian bagi mendapatkan lesen memandu serta mereka diberi pendedahan mengenai undang-undang jalan raya.-SAHIH