Raya Berlinang Air Mata, Rumah Rentung Sebelum Berbuka
Raya Berlinang Air Mata, Rumah Rentung Sebelum Berbuka
JENGKA – Persiapan Aidilfitri sebuah keluarga di Felda Jengka 7 bertukar tragedi apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran menjelang waktu berbuka, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, Yasran Mustafa, 53, berkata dia sedang membantu ibunya, Fatimah Awang, 70, mengemas rumah, sementara isterinya, Nor Asmah Abdullah, 50, sibuk menyediakan juadah berbuka.
“Ketika saya duduk di dapur, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dari bilik tengah. Ingatkan budak bermain mercun, jadi saya suruh mak tengok. Bila dia buka pintu bilik, api sudah marak,” katanya.
Yasran dan isterinya cuba memadamkan api dengan air, tetapi keadaan semakin tidak terkawal. Dalam kekalutan, dia memastikan ibunya selamat di luar sebelum cuba masuk kembali untuk menyelamatkan barang berharga, namun api sudah terlalu marak.
“Saya hanya sempat selamatkan kereta, semua barangan lain termasuk pakaian raya, dokumen penting, dan motosikal musnah dijilat api,” katanya.
Menurut Yasran, ketika kejadian, anak-anak serta ahli keluarga lain tiada di rumah kerana keluar membeli persiapan raya.
“Saya baru balik dari Lipis untuk menyambut raya bersama ibu. Sedih memang sedih, lebih-lebih lagi semua adik-beradik balik tahun ini, tapi rumah sudah tiada,” katanya dengan nada sayu.
Beliau ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Gabungan Masjid Felda Wilayah Jengka, Razak Daud yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti Felda, Datuk Mohd Banuri Aris dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Ariffin Abd Wahab.
Razak berkata, sumbangan tersebut adalah sebahagian tanggungjawab sosial gabungan masjid bagi membantu mangsa musibah seperti kebakaran, ribut, dan banjir.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (106016739941) atas nama Yasran Mustafa. – SAHIH