RARE! IKAN PATIN MUNCUNG MUNCUL DI PASAR KUALA LIPIS, HARGA BOLEH CECAH RIBUAN RINGGIT
RARE! IKAN PATIN MUNCUNG MUNCUL DI PASAR KUALA LIPIS, HARGA BOLEH CECAH RIBUAN RINGGIT
KUALA LIPIS – Kemunculan seekor ikan patin muncung di Pasar Bunga Cengkih di sini mengejutkan ramai apabila rakaman video spesies yang semakin sukar ditemui itu dikongsi oleh peminat dunia perikanan, Nizam Alias, 49, atau lebih dikenali sebagai Nizam Alias Fish On, di media sosial YouTube.
Menurut Nizam, ikan seberat 900 gram itu dipercayai dibawa oleh seorang nelayan dari Sungai Lipis sebelum dijual kepada seorang peraih ikan di pasar berkenaan.
“Saya dapat video ini daripada peraih ikan sendiri. Dah bertahun-tahun tak nampak ikan patin muncung… baru sekarang timbul, depan mata, di sini.
30 tahun dulu, kawan saya pernah dapat seekor. Lepas tu tak pernah nampak dah… sampai lah hari ini,” katanya yang teruja berkongsi penemuan luar biasa itu kepada pengikutnya.
Ikan patin muncung atau nama saintifiknya Pangasius nasutus mempunyai muncung tajam dan badan yang memanjang.
Spesies ini amat jarang muncul di pasaran biasa dan hanya sesekali berjaya ditangkap di sungai utama yang masih bersih.
Menurut peraih ikan tersebut, jika berat ikan melebihi dua kilogram, harga pasarannya boleh mencecah antara RM350 hingga RM450 sekilogram.
“Yang ini cuma 900 gram, tapi saya bayar RM100. Kalau dapat yang besar, dulu Jabatan Perikanan sanggup bayar sampai RM2,000 untuk dijadikan induk,” katanya.
Rakaman video yang dikongsi Nizam mencetuskan kekaguman dalam kalangan pencinta ikan sungai, dengan ramai menyifatkannya sebagai “rezeki terpijak”.
“Saya harap ikan ni tak pupus. Sungai-sungai kita masih banyak rahsia,” kata seorang pengguna media sosial yang turut berkongsi video tersebut.
Siapa sangka, di celah-celah hiruk-pikuk Pasar Kuala Lipis, muncul spesies legenda yang selama ini hanya dikenang oleh pemancing otai.
– SAHIH