RARA MOHON MAAF
RA
Permohonan maaf itu dibuat beliau berkaitan satu gambar dikongsinya menerusi laman Instagram
KUALA LUMPUR : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari dari DAP, Young Syefura Othman memohon maaf selepas dipercayai melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Permohonan maaf itu dibuat beliau berkaitan satu gambar dikongsinya menerusi laman Instagram, sedang menyambut majlis ulang tahun kelahiran di satu lokasi di Selangor tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Saya memohon maaf jika tindakan saya melanggar sebarang SOP COVID-19. Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak dalam Selangor, negeri saya bermastautin.
“Saya rela disiasat oleh pihak berkuasa jika tindakan saya melanggar sebarang SOP COVID-19. Terima kasih,” ciap beliau menerusi Twitter, pagi semalam.
Bagaimanapun, hantaran gambar di Instagram beliau bersama empat rakannya yang mendapat kecaman netizen sejak kelmarin, sudah dipadamkan.
Pemimpin muda DAP itu sebelum ini kerap turun ke kawasannya di Bentong, Pahang untuk menyampaikan sumbangan dan menemui penduduk yang memerlukan bantuan.
Memetik laporan BH Online sebelum ini, Young Syefura antara pemimpin yang lantang mengkritik Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang sengaja melanggar arahan kuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Turki.
Khairuddin sudah dikompaun RM1,000 kerana melanggar SOP kuarantin.