RANGKAIAN 4G UNTUK SELURUH NEGARA
RANGKAIAN 4G UNTUK SELURUH NEGARA
TEMERLOH: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mensasarkan penyediaan talian tetap untuk 7.5 juta premis dan meluaskan liputan 4G kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk dengan meningkatkan kelajuan purata jalur lebar.
Ia juga akan membabitkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G dengan jalur lebar mudah alih berkelajuan 35Mbs.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkhidmatan telekomunikasi diiktiraf sebagai kemudahan asas ketiga yang wajib disediakan dalam setiap rancangan pemajuan melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Perkhidmatan 5G akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi MyDigital menjelang tahun 2030 tetapi telah dipercepatkan setahun lebih awal seperti diumumkan oleh Perdana Menteri pada Februari lalu.
“Ia merupakan inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan digital serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Malaysia Prihatin di Kolej Komuniti, Mentakab, hari ini.
Dalam perkembangan barkaitan, pihak KKMM menerima banyak rungutan berkaitan dengan capaian internet di daerah Lipis, Cameron Highlands, Jerantut dan Rompin serta bakal dinaiktaraf capaian internetnya.
“Capaian liputan 4G di daerah tersebut masih berada di bawah 80 peratus iaitu 68.94 peratus di Lipis, Cameron Highlands (76.38 peratus), Jerantut (77.38 peratus) dan Rompin (79.18 peratus).
“Itulah pencapaian setahun KKMM Malaysia Prihatin sebagai kerajaan hari ini yang berfungsi dan prihatin serta bekerja kuat dalam zaman paling luar biasa dalam sejarah demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya. – SAHIH