Rangka Manusia Ditemui di Felda Bukit Mendi, Identiti Disyaki Orang Hilang Tahun Lalu
Rangka Manusia Ditemui di Felda Bukit Mendi, Identiti Disyaki Orang Hilang Tahun Lalu
BERA– Penduduk Felda Bukit Mendi gempar dengan penemuan satu rangka manusia di kawasan semak berhampiran rumah No. 194 petang semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, kejadian disedari kira-kira jam 4 petang oleh seorang penduduk, Hemezan Mohd Zaid, 51, yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan semak dan longkang paya menggunakan racun rumpai.
“Ketika sedang meracun semak samun, beliau terlihat satu rangka bersama tengkorak dan beberapa barangan termasuk pakaian serta sebuah telefon bimbit lama yang dipercayai milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut polis, pada awalnya saksi menyangka objek itu hanyalah patung, namun setelah berbincang dengan rakan-rakan, beliau membuat keputusan untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa.
Laporan polis pertama dibuat oleh anggota polis dari Balai Mengkuang, Muhammad Naaim bin Abidin, pada jam 12.04 tengah malam (3 Mei), selepas menerima panggilan daripada Hemezan pada jam 11.50 malam sebelumnya.
Hasil siasatan awal mendapati rangka manusia tersebut berada kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan, dalam kawasan berpaya milik rizab Felda. Pakaian seperti jaket, baju dan seluar turut ditemui berselerak di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah mengesahkan bahawa terdapat satu laporan orang hilang dibuat pada Julai tahun lalu melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun dari kawasan tersebut. Keluarga mangsa juga telah mengenal pasti pakaian yang ditemui sebagai milik individu terbabit.
Rangka manusia tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk pengesahan DNA dan siasatan lanjut. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (ROA).-SAHIH