“Rakyat Terpedaya, WhatsApp Dijangkiti Virus Palsu Bantuan RM1,000”
“Rakyat Terpedaya, WhatsApp Dijangkiti Virus Palsu Bantuan RM1,000”
KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket penipuan dalam talian sekali lagi terbongkar apabila mesej palsu berkaitan semakan kelulusan Bantuan MADANI sebanyak RM1,000 kononnya disalurkan melalui MyKad tersebar luas di WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
Mesej yang tular itu menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang menerima bantuan boleh membuat semakan bermula sekarang dengan hanya menekan pautan mencurigakan yang disertakan bersama. Kononnya, bantuan tersebut membolehkan pemohon menerima RM1,000 setiap bulan terus ke dalam MyKad mereka.
Lebih membimbangkan, mesej berkenaan yang dihantar secara rawak ke ribuan nombor telefon pengguna WhatsApp dipercayai turut mengandungi virus perisian hasad yang boleh menjangkiti peranti dan mencuri maklumat peribadi seperti data akaun bank dan nombor kad pengenalan.
Pautan yang disertakan dalam mesej tersebut — “https://app.register-aply.com/1” — jelas merupakan laman palsu yang direka menyerupai portal rasmi kerajaan dengan niat memperdaya mangsa agar mengisi maklumat peribadi.
Menurut pakar keselamatan siber, sindiket seperti ini semakin aktif mengambil kesempatan terhadap kesempitan rakyat yang terdesak mendapatkan bantuan kewangan, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak sesekali menekan sebarang pautan meragukan serta membuat semakan hanya melalui laman web rasmi kerajaan seperti portal rasmi Kementerian Kewangan Malaysia atau eMADANI.
Sebarang mesej berkaitan bantuan kewangan yang dihantar secara rawak melalui WhatsApp atau media sosial perlu dirujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa untuk memastikan kesahihan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengingatkan orang awam untuk segera membuat laporan sekiranya menerima mesej mencurigakan bagi membantu siasatan serta mengekang penyebaran virus scammer ini.
Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa. Sentiasa semak sebelum percaya!-SAHIH