RAKYAT SABAH TENTUKAN SIAPA MAMPU JADI KERAJAAN
KUANTAN: Sebaik selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, maka di tangan rakyat Sabah untuk memilih siapa sebagai pemimpin mereka.
Bagi UMNO Pahang, PRN Sabah adalah peluang terbaik kepada pengundi di negeri berkenaan membuat keputusan bagi menentukan hala tuju pembangunan Negeri Di Bawah Bayu itu.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kesempatan mengadakan program bersama sebahagian pengundi di Sabah malam tadi, membuka ruang kepada semua pihak mendapat maklumat sebaiknya mengenai isu berbangkit di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Secara umumnya, peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang sangat baik, itu pun jika kita bijak mengatasi pelbagai isu dan gangguan yang berlaku sebelum ini.
“Berkaitan isu siapa layak dilantik sebagai Ketua Menteri jika BN menang, itu hak orang Sabah… orang luar tak perlu masuk campur, biarlah mereka tentukan siapa yang mereka mahu pilih sebagai Ketua Menteri.
”Kalau boleh, semua petugas jentera BN menjalankan tugas dengan baik dan tersusun bagi memenangi hati pengundi… ini paling penting kerana kita mahu BN menang dengan selesa bagi memudahkan perancangan seterusnya untuk terus memakmurkan Sabah,” katanya melalui catatan status di laman sosial Facebook rasmi beliau malam tadi.
Berdasarkan catatan itu, Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Hal Ehwal Agama Pahang, berada di Sabah bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi memberi sokongan moral kepada calon BN yang bertanding pada PRN Sabah.
Syed Ibrahim juga meminta semua pihak akur dengan keputusan pucuk pimpinan BN, terutamanya dalam isu membabitkan calon Wanita yang dikatakan tidak memenuhi permintaan sayap Wanita parti komponen BN.
“Ini adalah keputusan yang sukar dan ia sudah dinilai oleh pucuk pimpinan sebelum memutuskan siapa yang patut bertanding dan siapa yang perlu memberi laluan… sasaran kita adalah untuk menang dan jika ia dicapai, pimpinan sayap Wanita daripada parti komponen boleh memainkan peranan mereka dengan lebih baik,” katanya.