RAKYAT MALAYSIA PRIHATIN HULUR BANTUAN
RAKYAT MALAYSIA PRIHATIN HULUR BANTUAN
JERANTUT: Siapa kata rakyat Malaysia tidak prihatin, Penduduk Kampung Jerantut Feri begitu prihatin kepada situasi semasa wabak Covid-19 yang melanda sekarang mengakibatkan terdapat penduduk yang terkesan kerana hilang pekerjaan dan punca pendapatan di samping tidak dapat menjalankan peniagaan kecil-kecilan masing-masing.
Sebuah Rak Bantuan Makanan Jalinan Ukhwah (food bank) disediakan oleh penduduk di situ untuk membantu mereka yang sangat memerlukan keperluan harian dengan dana dikeluarkan oleh anak muda dan penduduk setempat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Penyelaras projek itu, Rozmizal Mat Lia berkata, sumbangan daripada penduduk dan anak muda tempatan dapat dikumpulkan sebagai sumbangan ehsan kepada yang sangat memerlukan ketika PKP dan PKPD di sekitar Jerantut.
“Kami menyediakan barangan keperluan makanan dan dapur dianggarkan berjumlah keseluruhan RM2,500 yang bermula semalam, Alhamdulillah kami berjaya mengenal pasti 77 penerima dan bantuan disampaikan bersasar.
“Hari ini, kami menyediakan bantuan yang sama nilainya untuk penduduk yang memerlukan, kepada yang terputus bekalan makanan dan keperluan dapur sila hadir ke tempat kami di sini,”katanya ketika dihubungi.
Katanya, penduduk di sini menyambut baik usaha yang dilakukan sebagai satu usaha ukhwah kekeluargaan yang dituntut dalam agama, ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
“Walau bagaimana, seorang petugas berada di tempat itu untuk memantau agar bantuan dapat disampaikan kepada yang sangat diperlukan.
“Sekarang semua rakyat Malaysia sangat prihatin dengan keadaan di sekeliling mereka, banyak sumbangan dihulurkan kepada kami untuk menjayakan projek ini,” katanya.
Bagi sebarang pertanyaan tentang pemberian sumbangan dan penerimaan barangan, boleh hubungi saudara Hanapi Tahir (014-8264538) dan Rozmizal (019-9619288).-SAHIH.