Rakyat Johor Mahu Masa Depan Stabil
Rakyat Johor Mahu Masa Depan Stabil
MARAN – Keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor membuktikan rakyat negeri itu yakin dengan kemampuan Barisan Nasional (BN) melaksanakan agenda pembangunan dan kestabilan negara.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib berkata, kemenangan besar itu juga adalah isyarat jelas bahawa rakyat sudah bijak dalam membuat pilihan.
“Tahniah kepada semua calon BN yang menang besar dan mendapat mandat rakyat untuk menerajui negeri Johor.
“Setinggi penghargaan kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada BN demi kestabilan masa depan negeri Johor dan negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Ismail yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan UMNO serta jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen PRN Johor.
“Berbaloi segala usaha saya dan juga barisan jentera yang saya bawa dari Maran untuk bersama-sama membantu dalam siri jelajah kempen di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akhirnya membuahkan hasil.
“Semoga kemenangan ini kemenangan yang diberkati untuk kita semua menabur bakti,” katanya.-SAHIH
tamat