Rakyat Harap Belanjawan Pahang 2026 Lebih Menyentuh Hati Rakyat
Rakyat Harap Belanjawan Pahang 2026 Lebih Menyentuh Hati Rakyat
TEMERLOH – Rakyat Pahang menaruh harapan agar Belanjawan Negeri 2026 yang bakal dibentangkan kelak benar-benar memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat dan tidak sekadar menjadi angka di atas kertas.
Menurut Pengerusi Persatuan Orang Merdeka & Cakna Temerloh (KOME CAKNA), Jamil Yaakub, rakyat terutama di luar bandar mahu merasai arus kemajuan yang seimbang seperti dinikmati penduduk di kawasan bandar.
“Rakyat luar bandar pun mahu rasa kemajuan yang sama. Kami berharap bajet kali ini bukan sekadar ucapan atau janji, tetapi disertakan tindakan yang memberi kesan terus kepada rakyat,” katanya ketika mengulas harapan menjelang pembentangan Belanjawan Pahang 2026.
Katanya, beberapa perkara utama perlu menjadi fokus termasuk bantuan bersasar kepada golongan terkesan, peluang ekonomi dan latihan kepada anak muda, serta pembangunan infrastruktur luar bandar yang lebih terancang.
Beliau turut menekankan aspek penjagaan alam sekitar yang dianggap sebagai warisan penting negeri ini.
“Kita tidak mahu pembangunan mengorbankan alam sekitar. Gunung, sungai dan hutan adalah aset yang perlu dijaga demi generasi akan datang,” ujarnya.
Tambah beliau, setiap sen yang dibelanjakan kerajaan negeri perlu diterjemah dalam bentuk hasil yang boleh dinikmati rakyat secara langsung.
“Bajet bukan sekadar laporan perbelanjaan, tetapi satu amanah besar yang menentukan arah kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – SAHIH
