‘Raja Rimba’ putus buah zakar diserang singa betina
‘Raja Rimba’ putus buah zakar diserang singa betina
NAIROBI, Kenya – Seekor singa jantan kehilangan buah zakar akibat diserang sekawan singa betina ketika ia cuba merampas makanan yang sepatutnya dibawa balik kepada anak-anak singa, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Dalam insiden baru-baru ini, singa jantan bernama Mandevo itu cuba merampas daging kerbau yang dibunuh sekawan singa betina tanpa menyedari makanan itu adalah untuk dibawa pulang kepada 11 ekor anak singa.
Berang dengan tindakan Mandevo, kawanan singa betina itu terus menyerang ‘Raja Mergastua’ itu sehingga mengakibatkan kecederaan serius pada bahagian alat sulitnya.
Jurugambar hidupan liar, Gren Sowerby, yang kebetulan membuat tinjauan di kawasan berhampiran sempat merakam detik pertarungan tersebut.
“Kejadian berlaku sangat pantas seperti perlumbaan kereta Formula Satu.
“Mandevo hanya mampu terbaring dan menjilat diri sendiri selepas ‘tewas’ dalam perbalahan itu. Saya kemudian menelefon pihak berkuasa bagi membawa Mandevo mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurut Sowerby, renjer hutan telah menghantar Mandevo ke Pusat Gajah Nairobi dan kini sedang menjalani proses pemulihan.
“Meskipun kehilangan satu buah zakar, singa itu berada dalam keadaan baik,” ujar Sowerby.
SUMBER: Agensi/ Kosmo