RAJA IDRIS PENGERUSI LGM BARU
RAJA IDRIS PENGERUSI LGM BARU
KUALA LUMPUR: Pengerusi TDM Berhad, Datuk Raja Idris Raja Kamaruddin dilantik Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), berkuat kuasa 15 April lalu.
Lantikan Raja Idris itu dibuat susulan peletakan jawatan penyandang jawatan itu yang juga Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, pada 14 April lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata mandat utama diberikan kepada Raja Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah dimiliki LGM.
Selain itu, katanya, Raja Idris yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad, perlu menyelesaikan isu berbangkit membabitkan lima fasiliti tergendala di Sungai Buloh, sejak beberapa tahun lalu.
“Beliau juga perlu menyusun pelan strategik baharu LGM dan LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang milik lembaga berkenaan.
“Beliau diharap akan membawa LGM ke mercu tanda pengurusan lebih baik dan profesional, berintegriti serta telus berasaskan konsep tadbir urus Rabbani yang ditekankan kepada semua pengurusan tertinggi kementerian serta agensi di bawahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perkembangan itu menyusul selepas media melaporkan polemik tanah milik LGM di segi tiga emas Kuala Lumpur.
Ia membabitkan isu sewaan tanah 70 sen sekaki di Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76), apabila Ahmad Nazlan dilapor menjelaskan, LGM hanya bersetuju bagi pajakan lima tahun dan ditambah 10 tahun, namun Mohd Khairuddin mahukan 5 + 10 + 10, menjadikan 25 tahun.
Bagaimanapun, Lot 20012 (sebelum ini Lot 75) masih tiada cadangan penjualan oleh LGM, selain belum diangkat kepada kementerian untuk pertimbangan Menteri, lapor BH ONLINE.
Rentetan itu, Ahmad Nazlan baru-baru ini dilapor bersedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran isu mengenai LGM tular di media sosial, termasuk desakan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mad Zaidi Mohd Karli, dilantik Pengerusi Interim Lembaga Pengarah Lembaga Sawit Malaysia (MPOB).
“Beliau dilantik bagi melancarkan pentadbiran, pengurusan dan terus mengelola MPOB selepas Ahmad Nazlan menolak tawaran menyandang jawatan Pengerusi MPOB, selain calon baharu jawatan berkenaan akan ditentukan semula nanti,” katanya.